MASIH segar dalam ingatan seorang menteri apabila satu program automatif untuk membantu usahawan bumiputera dihentam teruk oleh sekumpulan pengusaha.
Yang menghairankan ialah apabila kumpulan pengusaha itu diminta hadir ke kementerian untuk menyatakan pendirian dan diminta kerjasama menjayakannya, mereka mengiakannya. Tetapi sebaik sahaja melangkah keluar dari kementerian, keesokannya mereka memaklumkan enggan menyokong. Tambah perit lagi apabila kenyataan itu disuarakan pula kepada pihak tertentu yang kemudian bertindak umpama 'orang tengah'.
Itulah antara kesan pengenalan pelbagai produk berteraskan jenama 1Malaysia sehinggakan beberapa anggota DAP dan PKR menjaja serta 'mencuba sedaya ada' untuk mencungkil kelemahannya. Daripada sekecil-kecilnya sehinggalah ke peringkat membuat 'kajian' mengggunakan 'agensi R&D' sendiri.
Sedangkan kalau mereka turun padang ke banyak penempatan flat-flat dan rumah kos rendah dan sederhana dalam bandar-bandar besar termasuk Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai, pasti mereka akur pada permintaan tinggi jenama produk 1Malaysia ini.
Antara produk 1Malaysia yang paling 'mendapat tempat' di kalangan pembangkang ialah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Sudah tentulah pelayar portal propembangkang kenal benar dengan beberapa individu yang kerap muncul di laman mereka untuk menjelaskan aspek kelemahan dan keburukan Kedai Rakyat ini.
Sedangkan kalau diteliti, kewujudannya berupa medium kepada kerajaan untuk mengawal harga barang dan mengurangkan monopoli sesetengah barang keperluan yang telah lama didominasi oleh pengilang-pengilang multinasional.
Atas sebab itu, syarikat multinasional tersebut tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah. KR1M menyediakan barangan konsumer sama seperti dilakukan oleh hypermarket, supermarkets, minimarkets dan lain-lain tetapi dengan menekankan pada keperluan asas konsumer/pelanggan dengan bajet yang sedikit/sederhana.
Tidak seperti kedai runcit yang lain, kebanyakan barangan yang dijual di KR1M seperti beras, minyak masak, susu tepung dan lampin dibungkus dengan menggunakan logo 1Malaysia. Dan sehingga sekarang jumlah barangan runcit di KR1M telah mencapai hampir 250 barang dan ia akan ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Masyarakat seharusnya faham bahawa KR1M merupakan program kerajaan yang melibatkan IKS bumiputera dan bertujuan memberi pilihan kepada pengguna terutama kepada bumiputera. Sebabnya selama ini hanya satu kaum sahaja yang menguasai dari segi pengimportan, peruncitan dan pembekalan barangan dengan mengawal seluruh pusingan harga sehingga pengguna tidak mempunyai pilihan. Dan apabila kerajaan membuat program ini, didapati ada pihak yang pandang rendah dan menganggap ia suatu bentuk persaingan.
Dalam konteks ini, pihak terbabit sewajarnya tidak 'mencari-cari kesalahan seseorang' tanpa mempunyai bukti yang kukuh.
Sepatutnya oleh kerana negara memiliki badan yang bertanggungjawab, maka ia patut diberi peluang untuk buat kajian. Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan boleh membuktikan isi kandungan produk Kedai Rakyat atau Menu Rakyat 1Malaysia berkenaan.
Jika selama ini DAP menuduh KR1M mengeluarkan produk yang kandungannya melepasi tahap bahaya tertentu namun persampelan oleh Kementerian Kesihatan tidak membuktian keadaan tersebut. Memang 'bijak' apabila masuk bab komen tetapi sepatutnya bantulah KR1M di peringkat awal ini. Selama ini pun IKS tidak ada peluang menghantar produk atau barangan mereka ke Giant atau pasar raya besar lain, justeru apabila dihantar produk ke KR1M, ia patut diberi peluang. Dalam konteks ini, orang ramai diyakini mampu menilai motif pembangkang.
Cuma, rentetan daripada insiden penarikan 13 produk KR1M baru-baru ini dikhuatiri akan menyebabkan ada kumpulan peniaga lain 'bersatu' dan seterusnya melambakkan barangan mereka pada harga yang murah, sekali gus memberi tekanan kepada peniaga bumiputera. Ini satu situasi untuk memonopoli, justeru kerajaan perlu memantaunya.
Demikian juga dengan produk-produk berjenamakan 1Malaysia yang lain. Contohnya, Menu Rakyat 1Malaysia. Setakat 10 Disember lalu, sebanyak 1,144 pengusaha restoran dan kedai makan telah melibatkan diri dalam program yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia. Dengan jolokan 'murah tapi berkualiti', harga pakej menu yang ditetapkan di Semenanjung untuk sarapan ialah RM2 dan makan tengah hari RM4. Di Sabah dan Sarawak pula, sarapannya cuma berharga RM2.50 manakala makan tengah hari sekitar RM5.
Ternyata, setakat ini tarikan Menu Rakyat 1Malaysia melangkaui seluruh pelosok negara. Di Sarawak sahaja membabitkan penyertaan sejumlah 71 pengusaha restoran manakala sebanyak 52 lagi di Sabah. Malah, lebih menarik lagi set makanan dalam menu berkenaan mempunyai peminat tersendiri.
Memanglah ada pengusaha Menu Rakyat yang menarik diri daripada program ini namun jumlahnya terlalu kecil. Ia bukannya kerana mereka tidak mampu tetapi disebabkan kadar sewa kedai yang dinaikkan secara tiba-tiba. Kerana itu, perlu ada komitmen daripada majlis-majlis daerah, antaranya dengan menyediakan insentif kepada Menu Rakyat 1Malaysia dari segi pengurangan kadar sewa premis yang mengusahakan program ini.
Kepada pihak terbabit, memasuki Tahun 2012 ini, jangan 'dibunuh' produk jenama 1Malaysia. Jangan dipijak produk yang baru 'bertatih'.
sokonglah produk tempatan..
ReplyDelete