Saturday 31 March 2012

DUN Sabah meluluskan Rang Undang-undang Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 2012 ketika persidangan DUN

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Radin Malleh berkata, rang undang-undang itu bertujuan untuk menyempurnakan hasrat kerajaan, pertama, untuk membubarkan seluas 7,024,00 hektar hutan simpan kekal melalui ke arah landskap dengan tanah kerajaan.
“Kedua, untuk menubuhkan seluas 9,544,50 hektar hutan simpan kekal negeri yang baru bagi menggantikan hutan simpan-hutan simpan yang telah dibubarkan.
“Ketiga untuk mengkelaskan semula lima kawasan hutan simpan sedia ada dengan keluasan 129,209,00 hektar kepada kelas-kelas yang lebih sesuai selaras dengan fungsinya,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 2012 di Persidangan DUN kelmarin.
Katanya, pembubaran seluas 7,024 hektar kawasan Hutan Simpan Negeri itu adalah bagi tujuan serta faktor iaitu menyediakan kawasan untuk membina kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di daerah kecil Sook.
“Menyediakan kawasan untuk Taman Perindustrian Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) di daerah Sipitang ,” katanya.
Beliau berkata, pembubaran tidak dapat dielakkan oleh kerana ada sebahagian kawasan Hutan Simpan yang terbabit tidak lagi sesuai dikekalkan untuk tujuan perhutanan atas sebab telah dibangunkan dan dijadikan perkampungan.
Kawasan-kawasan tertentu juga katanya, terdedah kepada perubahan dan kemusnahan terutamanya akibat kebakaran yang berulang.
Radin berkata, Hutan Simpan yang akan dibubarkan itu ialah Hutan Simpan Ulu Telupid kelas 1 (Perlidungan) seluas 1,048 hektar, Hutan Simpan Lipaso, kelas 1 (Perlindungan) seluas 260 hektar, Hutan Simpan Kuala Tomani, kelas 11 (Komersial) seluas, 2,900 hektar. Hutan Simpan Sook kelas 1V (Emeniti), Hutan Simpan Tawau kelas V (Bakau) seluas 796 hektar dan Hutan Simpan Mengalong kelas V1 (VJR).
Menurutnya, sungguhpun pembubaran Hutan Simpan itu akan dilakukan, kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan ganti iaitu 15 kawasan tanah kerajaan dengan keluasan 9,544,50 hektar yang akan ditubuhkan sebagai Hutan Simpan.
Hutan Simpan yang akan ditubuhkan itu, ialah kawasan Hutan Kungkular yang terletak di daerah Tenom seluas 1,260 hektar, kawasan Hutan Bukit Balingkadus di daerah Ranau seluas 288 hektar dan kawasan tadahan air Sapagaya di Lahad Datu seluas 2,514.99 hektar.
Kawasan hutan Sungai Tangkung di Kinabatangan seluas 368 hektar, syorkan sebagai Hutan Simpan Deramakot (Tambahan 11) kawasan hutan dan paya bakau di daerah Beaufort dengan keluasan 312 hektar, disyorkan sebagai Hutan Simpan Padas Damit (Tambahan) kelas 1V (Emeniti).
Selain itu, kawasan hutan Pulau Baik dan Pulau Kalung-Kalungan di Darvel Bay, Lahad Datu seluas 28 hektar. Kawasan hutan bukit Nabawan dalam daerah Nabawan seluas 38 hektar.
Kawasan hutan tanah lembab, Kinabatangan seluas 3,288 hektar, kawasan hutan Kepulauan Sg. Sugut, Sg. Paitan dan Pulau Jambongan terletak di Pitas dengan keluasan 144 hektar. Kawasan kepulauan berhampiran Hutan Simpan Kuala Bonggaya dan Kuala Labuk di Beluran seluas 36 hektar.
Kawasan hutan bakau Kudat dan Marudu Bay di Kota Marudu seluas 12 hektar, kawasan hutan bakau Kudat dan Marudu Bay di Kota Marudu seluas 572 hektar, kawasan tapak plot penyelidikan Jabatan Perhutanan Batu 15 dan Batu 15 ½ di Balung, Tawau.
Kawasan Tadahan air Babagon seluas lapan hektar, kawasan hutan Balat Damit di Kinabatangan dengan keluasan 670 hektar.
Radin juga berkata, selain pewartaan Hutan Simpan baru, kerajaan juga bercadang untuk mengkelaskan semula lima kawasan Hutan Simpan kelas 11 kepada kelas yang sesuai selaras dengan fungsinya.
Hutan Simpan berkenaan ialah sebahagian Hutan Simpan Ulu Segama di Lahad Datu, sebahagian Hutan Simpan Sapulut dan sebahagian Hutan Simpan Kalabakan, kawasan Maliau Buffer Zon1, sebahagian Hutan Simpan Ulu Segama di Lahad Datu.
Menurut Radin, pengkelasan semua Hutan Simpan berkenaan bertujuan antaranya bagi mengekalkan kawasan hutan untuk tujuan perlindungan dan kesejahteraan alam sekitar. pengekalan sumber air san kepelbagaian hayat.
Ia juga katanya, bagi meningkatkan kualiti biodiversiti kawasan hutan yang mengalami proses degradasi dan seterusnya mengekalkan peranannya sebagai zon penampan..Syabas kepada Ahli2 Dewan Undangan Negeri Sabah krn memperjuangkan Hutan Simpan di SABAH demi generasi akan datang..:-)

Wednesday 21 March 2012

Parlimen lulus Penubuhan PSC kaji Lynas, demi untuk kepentingan RAKYAT..

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dianggotai 9 YB diberi tempoh 3 bulan-Kaji relevannya LYNAS

Dewan Rakyat semalam meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) bertujuan meneliti dan menilai isu sensitif yang mendapat perhatian ramai serta piawaian keselamatan projek nadir bumi itu.

Usul dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu dipersetujui melalui pungutan suara yang dilakukan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee- MP Beluran, walaupun pembangkang berterusan membantah dan ada wakilnya keluar dewan sebaik usul itu dipersetujui.
Jawatankuasa itu akan dianggotai sembilan Ahli Parlimen - lima wakil Barisan Nasional (BN) termasuk seorang pengerusi, tiga wakil rakyat pembangkang dan seorang Bebas yang diberi tempoh tiga bulan untuk melaksanakan tugas.

Selama 45 minit menggulung usul berkenaan, Nazri berkata, tempoh tiga bulan itu boleh dilanjutkan jika jawatankuasa berkenaan tidak dapat melaksanakan tugas dalam tempoh itu dengan merujuk kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Jawatankuasa itu juga hendaklah menyiapkan dan membentangkan penyata jawatankuasa yang mengandungi syor berkaitan dan dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk dipersetujui atau mengikut cara yang diperintahkan majlis mesyuarat itu,” katanya.

Jawatankuasa itu akan memberi jawapan tepat terhadap beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang kerana ia akan mendapatkan fakta tepat daripada pakar pelbagai bidang berkaitan.
“Sebab itulah perlunya penubuhan jawatankuasa ini supaya segala yang dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang dapat diperjelaskan, malah Yang Berhormat juga boleh mengemukakan pandangan dan ia akan direkod secara rasmi.

“Apa juga yang ada kaitan dengan isu Lynas, hanya yang tercatat dalam usul ini saja diberi perhatian dan PSC bukan untuk menepis sebarang idea mana-mana pihak,” katanya apabila pembangkang menganggap penubuhan jawatankuasa itu tidak akan membawa kepada pembatalan projek itu.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen (PKR-Balik Pulau) Yusmadi Mohd Yusoff penubuhan PSC itu bersifat subjudis Nazri berkata, usul itu dibentangkan selepas mendapati amalan itu tidak subjudis walaupun ada kes berkaitan Lynas akan dihadapkan ke mahkamah.

Ketika dipersoalkan kenapa jawatankuasa itu dicadangkan hanya selepas kerajaan mengeluarkan lesen operasi sementara kilang berkenaan, Nazri berkata, penubuhan PSC belum terlewat untuk membincangkan pelbagai isu berbangkit berkaitan kilang Lynas.

Usul penubuhan PSC itu hangat dibahaskan 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang silih berganti duduk dan bangun bagi menegakkan pendirian masing-masing.

Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin turut membangkitkan suasana panas.

“Suasana di Dewan Rakyat- Yang Berhormat (YB) Hulu Langat (Dr Che Rosli Che Mat) yang juga pakar nuklear pembangkang ada dalam dewan mendiamkan diri, tiba-tiba YB Shah Alam (Khalid Samad) bisik sesuatu padanya, beliau kemudian keluar, tanpa berkata apa-apa lagi.

“Kenapa semasa sesi perbahasan ini pembangkang tidak benarkan pakarnya dalam bidang ini (nuklear) bersuara, kenapa mendiamkan diri dan sembunyikan dia. Mungkin juga kerana YB Hulu Langat pernah buat kenyataan menyatakan pembinaan kilang Lynas ini selamat,” katanya.

Suara bantahan pembangkang juga dibangkitkan Ahli Parlimen (PAS-Shah Alam), Khalid Samad; Tian Chua (PKR-Batu); Zuraidah Kamaruddin (PKR-Ampang); Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dan Dr Zulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor).. Inilah kesannya jika kerajaan tidak memperolehi 2/3 majoriti pada PRU ke-12 lepas..Pihak kerajaan sukar membuat keputusan sekiranya YB-YB daripada pihak pembangkang tidak memberi kerjasama dan bersikap biadap di dewan yang mulia itu..

Saturday 17 March 2012

Negara jiran desak malaysia naik gaji amah ia tidak relevan

17 Mac - Penulis memberi pandangan kepada Kerajaan agar tidak tunduk terhadap penetapan supaya amah dari Indonesia dibayar gaji RM700 untuk melakukan satu tugas khusus sahaja selain bayaran RM27 sehari jika bekerja pada hari rehat.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman berkata, kerajaan juga harus beralih pada sumber dari negara lain bagi memenuhi keperluan pembantu rumah selain Indonesia.
"Mereka yang memerlukan kerja di sini, jadi kenapa kita pula yang mahu tunduk pada kemahuan itu? Gaji ditetapkan juga amat tidak logik iaitu hanya untuk melakukan satu kerja," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman kelmarin yang mendakwa penetapan itu dicapai hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia.

Sunday 11 March 2012

PENYAKIT ALAF BARU BANGSA KINI....

ALAF ini Malaysia dikejutkan dengan gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang lantang menuntut pengiktirafan atas nama hak asasi selepas mendapat inspirasi daripada pemimpin tertentu. Malah tanpa segan silu, gerakan ini yang disokong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang keahliannya rata-rata orang Melayu, cuba menganjurkan Seksualiti Merdeka dan kini menuntut hak tersebut di mahkamah.
Melihat kebangkitan LGBT bukan sahaja mengancam asas kekeluargaan malah mengundang kemurkaan Allah, wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA dan NIZAM YATIM menemubual Kaunselor Berdaftar, HUSHIM SALLEH, dari firma Hushim Motivational & Counselling Consultancy (HMCC) yang telah mengendali lebih 1, 000 golongan songsang.
Menurut HUSHIM, kerajaan perlu menangani isu LGBT dengan cepat dan tegas kerana penyakit sosial tersebut telah merebak menjadi barah dalam masyarakat memandangkan pengamalnya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli politik.
Katanya, individu yang terlibat dan mengamalkan budaya songsang ini adalah manusia yang sakit jiwa selain mempunyai perwatakan pelbagai personaliti (split identity) yang sentiasa berubah-ubah serta berpegang kepada prinsip liberalisme.
MINGGUAN: Kenapa memilih golongan yang mengamal gaya hidup songsang sebagai subjek kajian dan kepakaran kaunseling saudara?
HUSHIM: Sebagai kaunselor saya terfikir apa nak jadi dengan bangsa dan kaum Melayu ini. Saya tengok makin hari makin bertambah. Malah sebelum gerakan LGBT nak dilancarkan saya sudah diberitahu oleh lelaki-lelaki gay dan biseksual, bahawa mereka akan menubuhkan persatuan bagi mendesak kerajaan.
Mereka nak kerajaan iktiraf kehidupan songsang, maknanya perkahwinan sejenis dibolehkan. Sebab itu apabila LGBT dilancarkan pada tahun lepas saya tidak hairan kerana sebagai kaunselor saya dah tahu lebih awal. Tapi mungkin kerana saya ini cuma orang biasa, maklumat itu hanya berada dalam ruang lingkup saya.
Sebagai seorang kaunselor, bapa dan individu muslim saya bertanggungjawab untuk bercakap kerana penyakit ini telah mula merosakkan bangsa kita. Amalan songsang ini dilaknat Allah dan penyebab paling cepat untuk kita diturunkan bala. Mungkin sesetengah pihak menganggap perkara ini sengaja digembar-gemburkan tetapi saya bercakap demi bangsa dan agama tanpa sebarang kepentingan peribadi.
Gaya hidup LGBT selalu dikaitkan dengan sekolah berasrama sebagai titik permulaan kepada kehidupan songsang mereka, adakah dakwaan itu benar?
HUSHIM: Berdasarkan kes yang saya kendalikan memang benar sekolah berasrama merupakan permulaan kepada penularan budaya songsang tetapi sekolah pondok dan agama juga tidak terkecuali. Mungkin ramai yang marah dengan kenyataan saya tetapi melihat kepada masalah LGBT pada hari ini, kita perlu jujur.
Kalau ibu bapa hari ini merasakan mempunyai anak lelaki lebih selamat berbanding anak perempuan, ia meleset sama sekali. Kebarangkalian anak-anak lelaki hari ini terjebak ke dalam kancah gaya hidup songsang sangat tinggi jika kita tidak peka dengan perubahan sikap anak-anak.
Perlukah dihapuskan sekolah berasrama satu jantina?
HUSHIM: Tidak perlu hapuskan, cuma kita perlu perbanyakkan program berbentuk kesedaran kepada pelajar tentang bahaya LGBT. Sebab di Malaysia, hendak bercakap benda macam ini, kita biasanya malu. Ibu bapa malu nak cakap perkara ini dengan anak, cikgu dalam kelas pun malu nak bercakap.
Satu lagi minta maaflah, kita ini terlalu banyak sangat letak bawah karpet. Kalau sekolah itu berlaku kes melibatkan isu LGBT, pengetua cuba tutup. Cakap tiada apa yang berlaku, sekolah ini okey, tetapi di luar sana orang sudah bercakap, meleleh bernanah sudah orang bercakap.
Apa punca yang menyebabkan LGBT ini menular dan apakah golongan ini boleh dilabel sebagai orang berpenyakit?
HUSHIM: Minta maaf cakap kerana dari pengalaman saya mengendalikan kes, orang agama sendiri terlibat sebagai gay. Mereka ini golongan split identity, maknanya sebelah pagi dia boleh jadi imam kemudian tengah hari meliwat orang. Pengetahuan agama tidak cukup jika tiada iman, sebaliknya kelebihan ilmu agama itu diguna untuk mengaburi mata orang ramai.
Amalan dilaknat ini berlaku kerana tabiat. Mereka yang terjebak seronok dengan kenikmatan luar tabie berbanding hubungan seks dengan isteri. Sebab itu Allah melarang dalam al-Quran kerana apabila seseorang sudah terjebak, gay dan biseksual ini umpama ketagih dadah. Mereka menjadi ketagih walaupun sudah beristeri.
Dari segi ilmu kaunseling memang benar orang yang terlibat dengan budaya LGBT adalah orang sakit. Mereka sebenarnya sakit jiwa walaupun dikurnia mental yang bijak. Kalau jati diri kita tetap, tarikan pada jantina berbeza tetapi orang macam ini tidak. Gay ini pula terbahagi kepada tiga golongan iaitu homoseksual, heteroseksual dan biseksual.
Homoseksual dia memberi dan menerima. kebanyakan terdiri daripada lelaki-lelaki macho. Heteroseksual pula hanya memberi sahaja manakala biseksual paling bahaya kerana mereka tidak pernah puas dan boleh berada dimana-mana sahaja dalam masyarakat. Gay adalah manusia yang paling susah dikesan kerana mereka berperwatakan seperti sesumpah.
Mereka boleh jadi sesiapa sahaja sama ada ahli politik, golongan profesional atau pelajar dan fahaman kumpulan ini adalah hak asasi serta liberalisme. Sebab itu, jika kerajaan akur kepada tuntutan kumpulan LGBT, negara kita akan hancur dan tidak mustahil suatu hari nanti Perdana Menteri kita mungkin seorang gay.
Apakah penyakit jiwa ini boleh diubati?
HUSHIM: Penyakit ini boleh dipulihkan, tetapi gay ini dia soal jiwa dan ketagih. Kita kena pulihkan melalui pendekatan agama dan terapi kaunseling tetapi dalam tempoh yang agak lama.
Sejauh mana seriusnya ancaman LGBT terutama dalam konteks sosial dan akidah di Malaysia pada hari ini?
HUSHIM: Saya berpengalaman mengendalikan kaunseling kepada golongan ini sejak 20 tahun lalu. Lima tahun kebelakangan ini saya dapati gay dan biseksual meningkat begitu mendadak dan berdasarkan pengakuan golongan ini, mereka mendakwa daripada 10 lelaki di bandar, tiga adalah gay manakala di luar bandar dua adalah gay. Ini tidak termasuk pondan dan lesbian. Sebab itu, saya harap semua pihak jangan pandang remeh benda ini. Saya sanggup berdebat demi mempertahankan fakta ini.
Kelompok LGBT kini menular di institusi pengajian tinggi dan malangnya, rata-rata yang terlibat adalah Melayu. Mereka bergerak menggunakan laman sosial untuk mengumpul kekuatan sehinggalah lahir apa yang kita panggil hari ini sebagai LGBT. Mereka inilah yang akan jadi pemimpin masa depan.
Soalnya apa akan jadi jika golongan muda yang dianggap sebagai pemimpin masa depan ini kelak adalah gay? Bukankah pada masa itu segala tuntutan LGBT ini akan diiktiraf kerana pemimpin negara kita pada masa itu juga pengamal dan penyokong kepada budaya laknat ini.
Inilah yang saya panggil sebagai barah dalam masyarakat sebagaimana disebut dalam al-Quran surah as-Syuraa ayat 165-166, malah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah bersabda: “Sesungguhnya perkara yang paling Aku takutkan atas umatku adalah perbuatan kaum Luth (homoseksual),”.
Berdasarkan trend semasa, saya tidak menolak kemungkinan dalam masa beberapa tahun lagi jika kerajaan tidak tegas dalam menangani isu LGBT akan lahir ahli politik atau ahli Parlimen dari kalangan gay. Hari ini pun kita sudah dihidangkan dengan bukti-bukti yang mewajarkan kebimbangan itu kerana terdapat ahli politik menyokong LGBT.
Apakah faktor sokongan politik dan kemunculan ahli politik yang dianggap sebagai ikon oleh golongan LGBT telah menyemarakkan barah ini?
HUSHIM: Dahulu isu LGBT ini tidak terlalu menonjol kerana beberapa sebab antaranya, kemudahan teknologi maklumat terbatas tetapi kini semua akses itu di hujung jari. Berbanding dahulu, masyarakat Malaysia kini berfikiran liberal. Berapa ramai orang Melayu yang sokong LGBT? Siapa yang fail petisyen di mahkamah?
Kalau melihat kepada perkembangan semasa, terdapat individu berpengaruh yang menjadi ikon kepada kumpulan LGBT sehingga menyemarak gerakan songsang ini. Sebab itu pemimpin politik kena bersih daripada isu-isu moral dan setiap pemimpin tidak boleh mengamal budaya sebegini.
LGBT juga dilihat sebagai ancaman kepada asas kekeluargaan, apakah peningkatan kes perceraian di Malaysia turut disumbang oleh budaya songsang ini?
HUSHIM: Saya sangat optimis yang peningkatan kes perceraian turut disumbang masalah ini. Umpama dalam kes terbaru yang saya kendalikan, seorang isteri yang masih muda mendakwa dirinya sentiasa diliwat dan hasil siasatan mendapati suaminya seorang biseksual. Mereka kini dalam proses perceraian. Sebelum ini pun banyak kes serupa saya kendalikan.
Apa yang perlu dilakukan kerajaan bagi mengekang LGBT?
HUSHIM: Kerajaan kena letakkan masalah ini sebagai satu keutamaan kerana selain memporak-peranda sistem kekeluargaan, agama Islam juga terancam. Saya tengok hari ini, yang memperjuangkan LGBT ramai orang Melayu.
Bagi saya kerajaan kena buat satu modul bagi menghalang LGBT habis-habisan di peringkat awal sejak sekolah rendah lagi. Selain itu, yang paling bahaya peringkat sekolah menengah sebab mereka ini akan pergi ke universiti. Di universiti sudah ramai. Saya cakap terus-terang, di universiti sudah ramai puak-puak ini.
Tapi di Malaysia, kita bertindak kadang-kadang mengikut musim. Kita tak serius dan tidak tegas. Kita terlalu banyak retorik dan berpolitik dalam soal ini, tidak kira apa fahaman politik kita. Sedangkan Ini soal masa depan anak-anak kita.
Adakah perlu pendekatan seperti pusat pemulihan penagih dadah?
HUSHIM: Boleh diguna pakai kaedah macam ini dan saya fikir bagus kalau ada institusi khusus macam kita buat pemulihan dadah tetapi sekarang tak ada. Kita hanya ada pusat ibu mengandung anak luar nikah yang dibuat oleh NGO. Saya menyokong penubuhan pusat seperti ini dan kerajaan mesti buat. Kalau kita tidak tangani, Allah akan turun bala yang amat dahsyat. Tunggulah kerana ini ada dalam al-Quran.
Komen terhadap pihak yang mempertikai undang-undang menyekat LGBT?
HUSHIM: Kalau kita mengucap dua kalimah syahadat, kita orang Islam dan kita membaca al-Quran kita tidak akan bercakap macam itu. Sebab bila kita bercakap macam itu, seolah-olah kita menyokong. Sedangkan kita tahu LGBT ini menyalahi hukum Islam yang dijelas dengan terang dalam al-Quran.
Saya tetap tidak bersetuju dengan pandangan menyatakan kita kena beri peluang kepada puak-puak ini. Al-Quran sudah nyatakan terang-terang, ini bukan buku yang ditulis oleh Stephen R. Covey atau Edward de Bono. Tak takutkah kita kepada hukum Allah? Kalau pun nak bercakap, rujuk dulu al-Quran.
Ingatlah ini dosa besar. Kita perlu hayati hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Empat golongan yang berada dalam kemurkaan Allah pada pagi dan petang iaitu golongan lelaki yang menyerupai perempuan; perempuan yang menyerupai lelaki; penzina dengan binatang dan golongan yang melakukan liwat.”-utusan

Terima Kasih Datuk Najib-Pengumuman Kenaikan gaji Penjawat Awam..Mengekalkan SSM

Kakitangan awam cukup lega dengan pengumuman Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak, Khamis lalu.
Hal yang kelihatan kusut dapat dileraikan. Pokok permasalahan iaitu Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mencetuskan kontroversi, dibatalkan.

SBPA yang diperkenalkan 1 Januari lalu mengundang bantahan banyak pihak terutama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Penjawat kategori rendah merasakan ketidakadilan dalam cara skim itu digubal. Ramai juga kalangan yang berjawatan tinggi dan sederhana merungut atas pelbagai sebab. Pembatalan tersebut sebagai langkah berani Najib yang responsif kepada suara kakitangan awam.

Pembatalan itu juga boleh dilihat sebagai mesej jelas kepada beberapa pegawai kanan terutama Ketua Setiausaha Negara, Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Abu Bakar Abdullah yang terlibat menggubal SBPA.

Setuju dengan saranan Perkasa bahawa mereka sepatutnya bertanggungjawab atas permasalahan yang timbul. Setidak-tidaknya mereka memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya kakitangan awam. Sekadar berbuat demikian kepada Perdana Menteri, jika ada, tidak memadai. Kesilapan dan kecuaian yang mereka lakukan telah menjejaskan imej kerajaan. Jika Najib tidak segera campur tangan dan mengambil kira maklum balas banyak pihak, isu tersebut pasti meletus bagai gunung berapi.

Apa pun, pengumuman Najib membawa khabar gembira buat 1.4 juta kakitangan awam. Sebahagian besar tuntutan CUEPACS dipenuhi. Dengan pembatalan SBPA, kerajaan mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, kenaikan elaun sara hidup (COLA) dan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan penjawat awam bagi masa depan - amat bermakna. Ketika ramai penjawat awam bimbang dengan rancangan pembangkang khususnya DAP untuk mengecilkan saiz perkhidmatan sehingga separuh, Najib menjamin status quo malah memberikan harapan baru. Keyakinan beliau kepada penjawat awam bukan sedikit.

Berdasarkan penyelidikan rambang Awang menerusi Internet, Malaysia merupakan negara paling komited melakukan penambahbaikan imbuhan buat kakitangan awam. Ternyata kerajaan amat menghargai peranan dan jasa penjawat awam. Ia bukan sekadar penghargaan menerusi ucapan dan kata-kata, malah lebih daripada itu. Syukur.

Najib dan maaf
SELAIN membatalkan SBPA, ada lagi perkara lebih besar yang Perdana Menteri, lakukan.
Awang teruja apabila Mohd. Najib Tun Razak tampil di khalayak ramai memohon maaf kepada rakyat atas sebarang kesilapan lalu bagi pihak Barisan Nasional (BN). Kejutan itu dilakukan oleh beliau pada perjumpaan bersama rakyat di Kuala Ketil, Baling, Kedah baru-baru ini.
Jarang seorang Perdana Menteri dan pemimpin sebuah parti pemerintah memohon maaf atas perihal lampau. ‘‘Kita (BN) minta maaf atas kesilapan kita dulu,’’ katanya. Bukan itu sahaja, beliau berjanji untuk memperbaiki daripada kesilapan dan membetulkannya dengan memberi perkhidmatan terbaik.
Sebagai pemimpin semasa, beliau memilih untuk mengambil tanggungjawab itu di bahunya. Awang melihat ia satu lagi keberanian politik Najib.

Terlintas Awang kepada satu petikan kata-kata Winston Churchill iaitu Perdana Menteri Britain pada era 1950-an. Beliau menyifatkan keberanian sebagai “the first of human qualities, because it guarantees all the others.’’ (Topik The Choice is yours dalam buku Make Yourself Unforgettable terbitan Dale Carnegie).
Apa yang beliau lakukan itu membuktikan Najib mendekati rakyat dalam erti kata sebenar. Jika beliau tidak memohon maaf, juga bukan isu besar. Sepanjang 54 tahun BN memerintah, sudah tentu ada kepincangan dan kelemahan tetapi keseluruhannya terlalu banyak jasa, kebaikan dan manfaat buat rakyat dan negara. Namun Najib merendah diri kepada rakyat dan akur BN perlukan pembetulan.

Pemimpin mempunyai banyak pilihan termasuk gaya kepimpinan yang mahu diterapkan. Najib memilih untuk berada dalam apa yang dianggap sebagai class act. Budiman dan berjiwa besar.

Sayap politik. Majlis Peguam tidak berminat membela Ahli Parlimen Sabak Bernam (BN), Abdul Rahman Bakri yang dijatuhi hukuman penjara dan denda atas tuduhan rasuah membabitkan tuntutan palsu, baru-baru ini. Pada hal, kes tersebut hampir sama dengan siasatan terhadap mendiang Teoh Beng Hock, yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beng Hock adalah Setiausaha Politik kepada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah daripada parti DAP. Difahamkan siasatan kes tersebut mampu membongkar penyelewengan lebih besar membabitkan beberapa pemimpin pembangkang di Selangor.

DAP telah bertindak mengalihkan perhatian daripada isu pokok iaitu siasatan sebenar, dengan mempolitikkan kematian Beng Hock secara luar biasa. Malangnya, Majlis Peguam mengambil pendirian memihak kepada parti tersebut.

Dalam kes pendakwaan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik atas tuduhan menipu Jemaah Menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Majlis Peguam juga tidak teruja membela beliau. Mungkin Liong Sik adalah tokoh MCA, bukan DAP.

Semakin banyak petunjuk bahawa Majlis Peguam telah diresapi fahaman politik pembangkang terutama DAP. Badan guaman itu umpama sayap kepada pakatan pembangkang. Maka elok jika lambang DAP dipaparkan sama di ibu pejabat Majlis Peguam.

Semua masih ingat Majlis Peguam menyokong secara terbuka Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya. Malah sehinggakan tidak mahu pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Majlis Peguam sendiri menafikan hak keadilan rakyat biasa. Tiada badan guaman lain di dunia yang bersikap seperti itu.

Majlis Peguam turut terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram Bersih bersama pembangkang selain program mempromosi seks bebas golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Sesungguhnya, badan guaman itu sudah hilang kewibawaan. Awang pernah sebut dan ingin ulangi. Jika diberi pilihan untuk percaya kepada Majlis Peguam atau kumpulan ah long, tidak ragu Awang memilih yang kedua.


Majlis Peguam sudah tidak hirau soal kewibawaan kerana ia mempunyai agenda lebih besar. Waspadalah, tindak tunduk golongan yang penuh muslihat. Jangan lupa, ancaman kini muncul dalam banyak bentuk. Ada yang berselindung di sebalik topeng profesionalisme, hak asasi dan demokrasi. Penyangak jenis ini lebih berbahaya. Dalam ruangan ini, minggu lalu, Awang melontarkan pertanyaan mengapa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berdiam terhadap satu rakaman perbualan beliau bersama seorang wanita, yang didedahkan dalam blog.

Setakat ini, beliau terus membisu walaupun ramai terutama orang muda teruja menanti reaksinya. Apakah rakaman itu benar? Tiada penjelasan dikeluarkan sama ada daripada Mat Sabu mahupun ibu pejabat Pas.
Awang tidak pasti sama ada tindakan berdiam diri itu mendapat arahan Presiden Pas, Hadi Awang mahupun Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat.

Seperti yang dinyatakan minggu lalu, Mat Sabu wajar tampil untuk mempertahankan diri dan membersihkan namanya. Ini kerana blog berkenaan mendakwa ia sebagai rakaman skandal beliau bersama wanita berkenaan. Ia dakwaan yang serius. Awang percaya Mat Sabu tidak takut untuk menjawab persoalan ini sebagaimana aksinya laksana panglima ketika berceramah.

 
Marah, bosan dan kecewa. Itulah reaksi warga kota terhadap kesesakan luar biasa jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dan sekitarnya, kelmarin. Puluhan ribu pemandu kenderaan terkandas beberapa jam sehingga malam. Implikasinya besar daripada emosi rakyat, imej Malaysia hinggalah kepada produktiviti negara. Tidak pernah terjadi kesesakan seburuk itu. Penutupan terowong SMART, beberapa kemalangan melibatkan kenderaan berat, kerja-kerja pembaikan di atas jalan dan menjelang cuti sekolah - adalah antara punca.
Awang bukan mahu menyalahkan sesiapa tetapi ia cukup untuk menuntut perhatian pihak berkuasa.
Ambillah pengajaran. Kesesakan hari itu tidak ditangani dengan berkesan. Pihak manakah yang sebenarnya bertanggungjawab? Siapakah yang sepatutnya memanggil sidang media untuk makluman kepada orang ramai dan banyak lagi pertanyaan. Awang lihat seolah-olah tiada integrasi dalam menangani aliran lalu lintas terutama dari segi usaha pre-emtif dan ketika terjadi banjir dan kemalangan kenderaan berat.

Adalah dicadangkan agar kerajaan tidak membina terowong laluan seperti SMART pada masa depan. Peranan dwifungsi untuk mengurangkan kesesakan dan mengawal banjir, tidak berkesan. Tiada elemen stabiliti kepada pengguna jalan raya terutama pada musim hujan. Ketidaktentuan aliran trafik bukan penyelesaian yang baik. Adalah lebih sesuai jika dibina lebuh raya laluan atas. Bagi menangani banjir pula, bina sahaja lebih banyak kolam tadahan. Ia lebih praktikal dan menjimatkan.