Sunday, 11 March 2012

Terima Kasih Datuk Najib-Pengumuman Kenaikan gaji Penjawat Awam..Mengekalkan SSM

Kakitangan awam cukup lega dengan pengumuman Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak, Khamis lalu.
Hal yang kelihatan kusut dapat dileraikan. Pokok permasalahan iaitu Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mencetuskan kontroversi, dibatalkan.

SBPA yang diperkenalkan 1 Januari lalu mengundang bantahan banyak pihak terutama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Penjawat kategori rendah merasakan ketidakadilan dalam cara skim itu digubal. Ramai juga kalangan yang berjawatan tinggi dan sederhana merungut atas pelbagai sebab. Pembatalan tersebut sebagai langkah berani Najib yang responsif kepada suara kakitangan awam.

Pembatalan itu juga boleh dilihat sebagai mesej jelas kepada beberapa pegawai kanan terutama Ketua Setiausaha Negara, Mohd. Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Abu Bakar Abdullah yang terlibat menggubal SBPA.

Setuju dengan saranan Perkasa bahawa mereka sepatutnya bertanggungjawab atas permasalahan yang timbul. Setidak-tidaknya mereka memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya kakitangan awam. Sekadar berbuat demikian kepada Perdana Menteri, jika ada, tidak memadai. Kesilapan dan kecuaian yang mereka lakukan telah menjejaskan imej kerajaan. Jika Najib tidak segera campur tangan dan mengambil kira maklum balas banyak pihak, isu tersebut pasti meletus bagai gunung berapi.

Apa pun, pengumuman Najib membawa khabar gembira buat 1.4 juta kakitangan awam. Sebahagian besar tuntutan CUEPACS dipenuhi. Dengan pembatalan SBPA, kerajaan mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus bagi semua gred penjawat awam, kenaikan elaun sara hidup (COLA) dan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan penjawat awam bagi masa depan - amat bermakna. Ketika ramai penjawat awam bimbang dengan rancangan pembangkang khususnya DAP untuk mengecilkan saiz perkhidmatan sehingga separuh, Najib menjamin status quo malah memberikan harapan baru. Keyakinan beliau kepada penjawat awam bukan sedikit.

Berdasarkan penyelidikan rambang Awang menerusi Internet, Malaysia merupakan negara paling komited melakukan penambahbaikan imbuhan buat kakitangan awam. Ternyata kerajaan amat menghargai peranan dan jasa penjawat awam. Ia bukan sekadar penghargaan menerusi ucapan dan kata-kata, malah lebih daripada itu. Syukur.

Najib dan maaf
SELAIN membatalkan SBPA, ada lagi perkara lebih besar yang Perdana Menteri, lakukan.
Awang teruja apabila Mohd. Najib Tun Razak tampil di khalayak ramai memohon maaf kepada rakyat atas sebarang kesilapan lalu bagi pihak Barisan Nasional (BN). Kejutan itu dilakukan oleh beliau pada perjumpaan bersama rakyat di Kuala Ketil, Baling, Kedah baru-baru ini.
Jarang seorang Perdana Menteri dan pemimpin sebuah parti pemerintah memohon maaf atas perihal lampau. ‘‘Kita (BN) minta maaf atas kesilapan kita dulu,’’ katanya. Bukan itu sahaja, beliau berjanji untuk memperbaiki daripada kesilapan dan membetulkannya dengan memberi perkhidmatan terbaik.
Sebagai pemimpin semasa, beliau memilih untuk mengambil tanggungjawab itu di bahunya. Awang melihat ia satu lagi keberanian politik Najib.

Terlintas Awang kepada satu petikan kata-kata Winston Churchill iaitu Perdana Menteri Britain pada era 1950-an. Beliau menyifatkan keberanian sebagai “the first of human qualities, because it guarantees all the others.’’ (Topik The Choice is yours dalam buku Make Yourself Unforgettable terbitan Dale Carnegie).
Apa yang beliau lakukan itu membuktikan Najib mendekati rakyat dalam erti kata sebenar. Jika beliau tidak memohon maaf, juga bukan isu besar. Sepanjang 54 tahun BN memerintah, sudah tentu ada kepincangan dan kelemahan tetapi keseluruhannya terlalu banyak jasa, kebaikan dan manfaat buat rakyat dan negara. Namun Najib merendah diri kepada rakyat dan akur BN perlukan pembetulan.

Pemimpin mempunyai banyak pilihan termasuk gaya kepimpinan yang mahu diterapkan. Najib memilih untuk berada dalam apa yang dianggap sebagai class act. Budiman dan berjiwa besar.

Sayap politik. Majlis Peguam tidak berminat membela Ahli Parlimen Sabak Bernam (BN), Abdul Rahman Bakri yang dijatuhi hukuman penjara dan denda atas tuduhan rasuah membabitkan tuntutan palsu, baru-baru ini. Pada hal, kes tersebut hampir sama dengan siasatan terhadap mendiang Teoh Beng Hock, yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beng Hock adalah Setiausaha Politik kepada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah daripada parti DAP. Difahamkan siasatan kes tersebut mampu membongkar penyelewengan lebih besar membabitkan beberapa pemimpin pembangkang di Selangor.

DAP telah bertindak mengalihkan perhatian daripada isu pokok iaitu siasatan sebenar, dengan mempolitikkan kematian Beng Hock secara luar biasa. Malangnya, Majlis Peguam mengambil pendirian memihak kepada parti tersebut.

Dalam kes pendakwaan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik atas tuduhan menipu Jemaah Menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Majlis Peguam juga tidak teruja membela beliau. Mungkin Liong Sik adalah tokoh MCA, bukan DAP.

Semakin banyak petunjuk bahawa Majlis Peguam telah diresapi fahaman politik pembangkang terutama DAP. Badan guaman itu umpama sayap kepada pakatan pembangkang. Maka elok jika lambang DAP dipaparkan sama di ibu pejabat Majlis Peguam.

Semua masih ingat Majlis Peguam menyokong secara terbuka Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya. Malah sehinggakan tidak mahu pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. Majlis Peguam sendiri menafikan hak keadilan rakyat biasa. Tiada badan guaman lain di dunia yang bersikap seperti itu.

Majlis Peguam turut terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram Bersih bersama pembangkang selain program mempromosi seks bebas golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Sesungguhnya, badan guaman itu sudah hilang kewibawaan. Awang pernah sebut dan ingin ulangi. Jika diberi pilihan untuk percaya kepada Majlis Peguam atau kumpulan ah long, tidak ragu Awang memilih yang kedua.


Majlis Peguam sudah tidak hirau soal kewibawaan kerana ia mempunyai agenda lebih besar. Waspadalah, tindak tunduk golongan yang penuh muslihat. Jangan lupa, ancaman kini muncul dalam banyak bentuk. Ada yang berselindung di sebalik topeng profesionalisme, hak asasi dan demokrasi. Penyangak jenis ini lebih berbahaya. Dalam ruangan ini, minggu lalu, Awang melontarkan pertanyaan mengapa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu berdiam terhadap satu rakaman perbualan beliau bersama seorang wanita, yang didedahkan dalam blog.

Setakat ini, beliau terus membisu walaupun ramai terutama orang muda teruja menanti reaksinya. Apakah rakaman itu benar? Tiada penjelasan dikeluarkan sama ada daripada Mat Sabu mahupun ibu pejabat Pas.
Awang tidak pasti sama ada tindakan berdiam diri itu mendapat arahan Presiden Pas, Hadi Awang mahupun Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat.

Seperti yang dinyatakan minggu lalu, Mat Sabu wajar tampil untuk mempertahankan diri dan membersihkan namanya. Ini kerana blog berkenaan mendakwa ia sebagai rakaman skandal beliau bersama wanita berkenaan. Ia dakwaan yang serius. Awang percaya Mat Sabu tidak takut untuk menjawab persoalan ini sebagaimana aksinya laksana panglima ketika berceramah.

 
Marah, bosan dan kecewa. Itulah reaksi warga kota terhadap kesesakan luar biasa jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dan sekitarnya, kelmarin. Puluhan ribu pemandu kenderaan terkandas beberapa jam sehingga malam. Implikasinya besar daripada emosi rakyat, imej Malaysia hinggalah kepada produktiviti negara. Tidak pernah terjadi kesesakan seburuk itu. Penutupan terowong SMART, beberapa kemalangan melibatkan kenderaan berat, kerja-kerja pembaikan di atas jalan dan menjelang cuti sekolah - adalah antara punca.
Awang bukan mahu menyalahkan sesiapa tetapi ia cukup untuk menuntut perhatian pihak berkuasa.
Ambillah pengajaran. Kesesakan hari itu tidak ditangani dengan berkesan. Pihak manakah yang sebenarnya bertanggungjawab? Siapakah yang sepatutnya memanggil sidang media untuk makluman kepada orang ramai dan banyak lagi pertanyaan. Awang lihat seolah-olah tiada integrasi dalam menangani aliran lalu lintas terutama dari segi usaha pre-emtif dan ketika terjadi banjir dan kemalangan kenderaan berat.

Adalah dicadangkan agar kerajaan tidak membina terowong laluan seperti SMART pada masa depan. Peranan dwifungsi untuk mengurangkan kesesakan dan mengawal banjir, tidak berkesan. Tiada elemen stabiliti kepada pengguna jalan raya terutama pada musim hujan. Ketidaktentuan aliran trafik bukan penyelesaian yang baik. Adalah lebih sesuai jika dibina lebuh raya laluan atas. Bagi menangani banjir pula, bina sahaja lebih banyak kolam tadahan. Ia lebih praktikal dan menjimatkan.

No comments:

Post a Comment