Anwar perlu mansuhkan PTPTN di Unisel, KUIS, Insaniah serta-merta sebelum berangan2 memansuhkan PTPTN di semua Insitusi Pengajian Tinggi @Malaysia
Dipetik : Oleh Zaini Hassan
SAYA masih ingat semasa menjadi pelajar di universiti dulu. Datang
pula dari keluarga yang bukan senang. Saya masih ingat ibu terpaksa
pajak barang kemasnya untuk membiayai saya masuk universiti. Setiap
bulan atau kadang-kala setiap minggu, pada siapa lagi yang boleh saya
minta wang saku jika bukan dari bapa saya (yang kini sudah tiada).
Ada masa saya keputusan wang. Rakan-rakan sayalah tempat saya
mengadu. Terpaksa tebal muka. Ada juga senior yang simpati memberi wang.
Terima kasih kepada rakan-rakan, yang ada menghalalkan wang sumbangan
mereka itu. Mereka itu kini ada yang sudah menjadi ahli perniagaan
berjaya dan berjawatan tinggi.
Itu kisah saya pertengahan tahun 80-an dulu. Namun cabaran kini lebih
getir lagi. Semuanya memerlukan wang. Anak sulung saya juga berada di
universiti tempatan. Dia tidak mengambil Pinjaman Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN). Saya membiayainya sendiri, namun terasa perit
kerana perbelanjaannya cukup tinggi.
Jika saya berasal dari Cherok Tok Kun, Cherok Bemban, atau mana-mana
cherok (cherok dalam bahasa Utara bererti hulu, pedalaman atau tempat
jin bertendang), maka anak saya tiada pilihan selain terpaksa meminjam
dari PTPTN.
Anak-anak Melayu yang masuk ke universiti awam tempatan bukan
semuanya senang. Rata-rata mereka berasal daripada keluarga miskin.
PTPTN yang diilhamkan oleh ayahanda pemodenan Malaysia, Tun Dr. Mahathir
Mohamad bermatlamat untuk membantu anak-anak ini belajar dengan selesa
di menara gading.
Anwar Ibrahim sedar mengenai hal ini. Beliau ialah Timbalan Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan semasa idea dan pelaksanaan PTPTN
dilaksanakan.
Semasa saya belajar dulu, tiada PTPTN. Jika ada sudah tentu saya
antara salah seorang budak Melayu miskin yang akan memohonnya. Dan
setelah saya bekerja, maka saya akan membayar balik pinjaman itu. Atau
jika saya mendapat Ijazah Kelas Pertama, maka ia akan ditukar menjadi
biasiswa, tak perlu bayar. Namun saya bukanlah kategori itu, maka atas
kesedaran itu, saya perlulah membayar balik pinjaman yang diambil.
Jadi, itu tidak menjadi hal. Orang Melayu bukanlah bangsa yang mahu
semuanya free. Kita juga ada maruah. Saya tidak pasti macam mana
timbulnya idea geliga Anwar meminta dihapuskan sahaja bayaran balik
PTPTN kepada kerajaan. Seperti yang kita ketahui, itulah Anwar. Kaki
putar alam demi kepentingan dirinya, partinya dan cita-citanya untuk
menjadi PM. Dia gemar mencari isu popular untuk kepentingan dirinya.
Namun, dalam masa menulis kolum ini saya mendapat maklumat yang cukup
memalukan. Universiti dan institusi pengajian tinggi yang dikuasai oleh
kerajaan pembangkang, termasuk Selangor yang Anwar sebagai Penasihat
Ekonominya masih menerima kemudahan PTPTN daripada Kerajaan Pusat untuk
disalurkan kepada para pelajarnya -- Melayu, Cina dan India -- yang
miskin dan yang memerlukannya.
Jumlahnya juga besar (lihat carta): Universiti Selangor (yang dulu
diasaskan oleh kerajaan BN) adalah antara penerima tertinggi di seluruh
negara iaitu sebanyak RM851,294,429.90 iaitu hampir RM1 bilion. Ia
digunakan untuk faedah sebanyak 25,649 pelajar universiti itu sejak
kewujudan PTPTN pada tahun 2000 sehingga 31 Mac 2012.
Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pula menerima sebanyak RM369
juta 977,659.00 untuk kemudahan sebanyak 13,763 pelajar miskin.
Unisel dan KUIS, yang ditubuhkan oleh kerajaan BN terdahulu, kini
(kononnya, tolong betulkan jika saya salah) menjadi markas kuat
penentang kerajaan Pusat pimpinan BN.
Sementara itu, satu lagi negeri pimpinan pembangkang, iaitu negeri
kelahiran saya, Kedah turut menerima kemudahan faedah daripada PTPTN.
Kolej Insaniah, sebuah kolej kecil, menerima kemudahan PTPTN sejak dari
tahun 2000 sehingga 31 Mac 2012. Sebanyak RM266 juta 229,500.00 telah
disalurkan untuk kemudahan sara hidup dan pengajian bagi 5,900
pelajarnya. Rata-rata semua pelajarnya mengambil kemudahan tabung itu.
Kita hairan jika Anwar beria-ia mahu supaya hutang itu dimansuhkan,
kenapa tidak dimulakan pemansuhan PTPTN untuk institusi di bawah
jagaannya berkuat-kuasa serta-merta.
Jika beliau merasakan bentuk pinjaman itu sebagai zalim dan
mahafiraun -- maka kita mahu melihat kemudahan PTPTN oleh kerajaan Pusat
itu dimansuhkan untuk ketiga-tiga institusi tersebut dahulu.
Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai hal ini kerana saya mahu
pembaca sekelian membaca satu posting menarik yang ditulis oleh bekas MB
Selangor, Dr. Khir Toyo mengenai perihal Anwar dan PTPTN ini di bawah
tajuk Hipokrasi Anwar dan Wajah PTPTN Yang Perlu Diubah.
PTPTN bagi saya perlu diteruskan dan hanya perlu ditambah-baik dan
diperhalusi dari segi sistem pengendaliannya. Ikuti entri dalam blog Dr.
Khir pada bulan Februari lalu
http://www.drkhir.com/2012/02/hipokrasi-anwar-dan-wajah-ptptn-yang.html
Hipokrasi Anwar dan Wajah PTPTN Yang Perlu Diubah
BARU-BARU ini saya berjumpa dengan sekumpulan mahasiswa yang begitu
terpengaruh dengan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan
pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Mereka yang
terpengaruh dengan janji Pakatan ini tidak memahami sejarah dan pemimpin
yang mewujudkan PTPTN sendiri.
Apabila Anwar mengumumkan beliau akan menghapuskan pinjaman PTPTN
mereka bersorak sakan tanpa melihat asal usul kemunculan dana ini.
Pada awal 1991, Perdana Menteri Keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir
Mohamad (Tun) mengumumkan pelan jangka panjang Wawasan 2020 iaitu ke
arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berasaskan kepakaran
dan teknologi serta mewujudkan rakyat berpendapatan tinggi. Justeru,
mahu tidak mahu jumlah pelajar pengajian tinggi juga perlu ditambah
dengan banyaknya agar selari dengan hasrat Wawasan 2020 itu.
Selain itu, perkembangan pesat Institut Pengajian Awam dan Swasta,
kemunculan begitu ramai pelajar yang lulus cemerlang dalam pengajian
peringkat menengah sejak penghujung alaf lalu menyaksikan kerajaan tidak
lagi mampu menyediakan peruntukan yang besar dalam pemberian pinjaman
dan biasiswa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam seperti sebelum itu.
Atas sebab itulah kerajaan menubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional 1997 (Akta 566).
Hipokrasi Anwar Ibrahim
Siapakah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika PTPTN
ini ditubuhkan? Nyata sekali PTPTN ditubuhkan di bawah batang tubuh
pemimpin yang hari ini ke hulu ke hilir mendakwa PTPTN menekan
mahasiswa, zalim dan merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memberi
pendidikan percuma sehingga ke universiti.
Tujuan PTPTN ialah untuk mengambil alih peranan Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA) yang sebelum ini merupakan agensi pemberian pinjaman
pendidikan terbesar kerajaan selain Majlis Amanah Rakyat (MARA). PTPTN
bertujuan mewujudkan satu tabung pinjaman pendidikan yang tidak lagi
memerlukan peruntukan kerajaan saban tahun seperti JPA sebelum ini.
Malangnya PTPTN bermula dengan langkah yang salah apabila mengenakan
caj sehingga 4% setahun ke atas pinjamannya. Ini menimbulkan kemarahan
para pelajar yang terasa mereka dibebani oleh pinjaman pendidikan yang
terlalu tinggi apabila mula bekerja.
Tapi sekali lagi pengenaan caj 4% ini dilakukan di bawah pengawasan
Menteri Kewangan mana? Orang yang sama hari ini yang mendakwa pinjaman
PTPTN dan caj pengurusan, yang jauh lebih rendah daripada zaman beliau,
sebagai zalim dan menindas mahasiswa.
Namun kerajaan Barisan Nasional yang prihatin ini kemudiannya
menurunkan kepada 3% dan seterusnya menganjurkan skim baru yang hanya
mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 1% sahaja. Dan ingatlah semua ini
berlaku bukan lagi pada zaman pemimpin "rakyat" bernama Anwar Ibrahim
memegang kuasa.
Sungguhpun kita mengetahui sikap hipokrasi pemimpin Pakatan ini,
namun kita juga harus menerima hakikat bahawa wajah, struktur dan bentuk
PTPTN boleh diberi nafas baru yang menjadikannya lebih mesra rakyat.
PTPTN Perlukan Perubahan Drastik
Sehingga tahun lalu seramai 885,564 peminjam Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu membayar balik pembiayaan
pendidikan masing-masing yang berjumlah RM5.3 bilion. Pada Oktober tahun
lalu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung berkata,
114,125 peminjam telah diluluskan penangguhan bayaran balik disebabkan
menyambung pelajaran, masih belum bekerja dan dalam proses tawaran yang
melibatkan amaun sebanyak RM967.18 juta.
Ini bermakna masih ada lagi ruang untuk pelajar yang telah lulus
pengajian memohon penangguhan bayaran semula. Namun masih ramai yang
tidak berpuas hati kerana PTPTN mewajibkan mereka mula membayar balik
enam bulan selepas habis pengajian. Jika tidak mampu membayar maka perlu
melakukan rayuan dan bergantung atas budi bicara para pegawai PTPTN.
Malahan saya dimaklumkan PTPTN mempunyai budi bicara untuk mengurangkan
bayaran bulanan sehingga serendah RM 50 sebulan.
Namun masalah yang besar ialah mengenai jumlah yuran pengajian yang
begitu tinggi di Institut Pengajian Tinggi Swasta sehingga menyebabkan
ada antara pelajar lulusan vokasional dan teknik berhutang dengan PTPTN
sehingan RM 45 ribu ke 50 ribu sebaik tamat pengajian.
Dalam keadaan inilah kerajaan harus menganggap memberi pinjaman
pendidikan tinggi kepada para pelajar merupakan satu bentuk pelaburan
yang kalau tidak lebih penting pun tentulah sama penting dengan
pelaburan pembangunan lain.
Pada hemat saya PTPTN perlu menggunakan skim pembayaran balik
pinjaman MARA yang lebih mesra pelajar dan sangat bertimbang rasa. Ini
membolehkan pelajar menikmati pelbagai potongan diskaun selain
menggalakkan kerja keras mahsiswa menumpukan kepada pelajaran. Jika
pelajar yang mendapat kelulusan baik diberi potongan tertentu, maka
lebih ramai yanga akn menumpukan kepada pelajaran berbanding
menghabiskan masa berhibur dan berdemontrasi.
PTPTN sebagai organisasi yang berkait rapat dengan kerajaan tidak
harus menjadi seperti bank yang mengenakan pelbagai caj dan faedah
sehingga membebankan mahasiswa.
PTPTN mendapat dana permulaan daripada kerajaan. Saya percaya
kerajaan boleh menambah dana tersebut jika PTPTN mempunyai strategi yang
berkesan untuk menjadi sebuah organisasi yang mapan pada masa akan
datang.
Justeru PTPTN harus mengambil langkah seperti MARA yang kini
khabarnya mempunyai cabang pelaburan sendiri bagi mengumpul dana untuk
organisasi dan aktiviti mereka. Atau sekurang-kurangnya PTPTN boleh
mencontohi model pengurusan dan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP)yang mampu mendapat keuntungan bagi menampung kos operasi dan
membayar dividen kepada penyimpannya.
PTPTN boleh memohon dana khas kerajaan untuk pelaburan dalam industri
tertentu yang tidak berisiko tinggi tetapi mempunyai pulangan
sederhana. Kos pengurusan PTPTN dan juga kerugian daripada pemberian
diskaun kepada pinjaman pelajar boleh ditampung dari sumber keuntungan
pelaburannya, bukan daripada pinjaman pendidikan itu sendiri seperti
yang berlaku sekarang.
Dengan peruntukan berbilion daripada kerajaan, adalah mustahil untuk
PTPTN tidak mampu untuk mencari peluang pelaburan yang mencukupi untuk
membiayai pengurusan organisasinya dan juga menampung kekurangan dana
pinjaman akibat pelupusan dan juga pengurangan bayaran balik pinjaman.
PTPTN juga boleh melakukan pelbagai aktiviti mengutip dana untuk
tabung pinjaman ini jika syarikat korporat, dermawan dan rakyat percaya
mereka membuat kerja membantu mahasiswa bukannya menindas mahasiswa.
Yang utama dan penting ialah PTPTN tidak seharusnya mengambil jalan
senang dengan memberi pinjaman dan mengutip bayaran semata-mata sehingga
ia menjadi satu bebanan politik kepada rakyat.
Belajarlah daripada agensi lain terutamanya daripada MARA yang bukan
sahaja berupaya menaja para pelajar ke luar negara tetapi juga memberi
pinjaman yang sangat fleksibel dan mesra mahasiswa.
CUIT: Tahniah Dr. Khir kerana telah lama menjawab isu PTPTN ini. Tetapi mungkin ramai yang tidak perasan.