Saturday, 8 September 2012

T A M B U A K A R: Orang Tua Siapakah Warga Indonesia Ini ?

T A M B U A K A R: Orang Tua Siapakah Warga Indonesia Ini ?: ~ tambuakarsaba dikasi tau yang ini bapa 'pejuang' RCI di Sabah. Mengkali dia lupa yang bapanya masi pakai Passport. Jadi, apa status...

Wednesday, 29 August 2012

Monday, 7 May 2012

Azmin Ali-tertekan isu YB Jamban & anak derhaka..Didesak sumpah laknat!..

KUALA LUMPUR 6 Mei - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kini dilihat dalam keadaan tersepit setelah gagal hadir pada majlis sumpah laknat yang diaturkan oleh Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) di Masjid Negara, semalam.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, Azmin sebenarnya tidak mempunyai pilihan selain mengangkat sumpah laknat bagi membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan skandal gambar panas membabitkan seorang lelaki yang mirip beliau.
"Tidak cukup bagi Azmin sekadar buat penafian sahaja sedangkan dia tidak memberi sebarang bukti saintifik yang boleh menyokong penafiannya.
"Saya percaya Azmin tidak berani melafazkan sumpah laknat kerana ada sesuatu yang ingin disembunyikan," katanya.
Beliau mengulas kegagalan Ahli Parlimen Gombak itu hadir pada majlis sumpah laknat menyebabkan Mursyidul Am TIBAI, Muhammad Zahid Md. Arip menggelarnya sebagai 'dayus dan bacul'.
Tambah Anuar, pemimpin pembangkang itu juga sepatutnya menghentikan tuduhan membuta-tuli terhadap UMNO yang dikatakan sebagai dalang di sebalik penyiaran gambar-gambar aksi seks oral tersebut di beberapa laman blog...Ini adalal fitnah kepada UMNO..

Pembangkang tidak yakin menang PRU-13-Pandangan Ikhlas Tun M...

ALOR SETAR 6 Mei - Pakatan parti pembangkang - Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP - sebenarnya tidak yakin dapat memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan kerana itu mereka membuat banyak tindakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, sejak negara merdeka 55 tahun lepas, pembangkang tidak pernah berjaya menjatuhkan kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN).
“Mereka (pembangkang) sedang bersedia kalau kalah lagi dalam pilihan raya akan datang, mereka akan cetus huru-hara dengan membuat demonstrasi, buat desakan kononnya kerajaan sekarang ini tipu bagi membolehkan BN menang.
“Inilah pendekatan mereka sekarang," katanya kepada pemberita selepas majlis Wacana Tokoh Negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Kedah, di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, beliau yakin kerajaan yang ada sekarang kuat dan mampu untuk menjaga keamanan negara.
“Kalau kerajaan lemah, mereka tidak akan mampu untuk mentadbir negara dengan baik seperti sekarang dan mungkin juga akan digulingkan oleh rakyat," katanya.
Dr. Mahathir berkata, rakyat perlu berhati-hati dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Anwar dianggap sebagai pemimpin pilihan Amerika.
“Sejak zaman saya menjadi Perdana Menteri lagi, dia (Anwar) telah dianggap sebagai PM Malaysia oleh Amerika dan dia sendiri pernah membawa (anggota) Kongres Amerika datang ke sini," katanya.
Selain itu, Dr. Mahathir berkata, terdapat kemasukan wang asing di negara ini bagi menjayakan agenda negara kuasa besar itu.
“Saya tahu banyak juga NGO yang mendapat bantuan wang daripada badan-badan tertentu Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Mereka bagi wang ini untuk menjayakan agenda mereka bukannya agenda kita.
“Ia berlaku sejak dari zaman saya lagi dan NGO itu telah diperalatkan. Saya yakin parti-parti politik pun ada yang terima wang tersebut," katanya.
Beliau menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dan memilih pemimpin yang betul bagi mengelakkan negara dikongkong dan dijajah semula.
Terdahulu, dalam ucapannya Dr. Mahathir berkata, pelbagai pembangunan telah dilakukan kerajaan Pusat bagi memberi kesenangan kepada rakyat.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin dan sentiasa memikirkan nasib rakyat dan untuk membela rakyat," katanya. -Dipetik BERNAMA

Kadar gaji minimum dibincang bersama majikan Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR 7 Mei - Kementerian Sumber Manusia menegaskan tidak timbul isu tidak adil berhubung kadar gaji minimum sektor swasta melibatkan Sabah, Sarawak, Labuan dan Semenanjung.
Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan berkata, keputusan tersebut telah dibuat hasil perbincangan antara pihak majikan dan pekerja di tiga negeri tersebut iaitu Sabah, Sarawak dan Labuan dengan mengambil kira pelbagai faktor.
Beliau berkata, kadar RM800 di ketiga-tiga negeri itu berbanding RM900 di Semenanjung turut mengambil kira kajian mendalam termasuk dari Bank Dunia.
``Sekiranya kadar gaji minimum ditetapkan pada RM900 untuk tiga negeri ini, dibimbangi majikan khususnya majikan kecil di negeri-negeri ini akan menghadapi masalah untuk terus beroperasi atau menutup operasi menyebabkan pekerja akan kehilangan kerja,’’ katanya.
Beliau mengulas rasa tidak puas hati pihak-pihak tertentu termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak yang menyifatkan kadar itu tidak adil kerana kos hidup yang lebih tinggi berbanding Semenanjung. - UTUSAN

Anwar perlu mansuhkan PTPTN di Unisel, KUIS, Insaniah serta-merta sebelum berangan2 memansuhkan PTPTN di semua Insitusi Pengajian Tinggi @Malaysia




SAYA masih ingat semasa menjadi pelajar di universiti dulu. Datang pula dari keluarga yang bukan senang. Saya masih ingat ibu terpaksa pajak barang kemasnya untuk membiayai saya masuk universiti. Setiap bulan atau kadang-kala setiap minggu, pada siapa lagi yang boleh saya minta wang saku jika bukan dari bapa saya (yang kini sudah tiada).
Ada masa saya keputusan wang. Rakan-rakan sayalah tempat saya mengadu. Terpaksa tebal muka. Ada juga senior yang simpati memberi wang. Terima kasih kepada rakan-rakan, yang ada menghalalkan wang sumbangan mereka itu. Mereka itu kini ada yang sudah menjadi ahli perniagaan berjaya dan berjawatan tinggi.
Itu kisah saya pertengahan tahun 80-an dulu. Namun cabaran kini lebih getir lagi. Semuanya memerlukan wang. Anak sulung saya juga berada di universiti tempatan. Dia tidak mengambil Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saya membiayainya sendiri, namun terasa perit kerana perbelanjaannya cukup tinggi.
Jika saya berasal dari Cherok Tok Kun, Cherok Bemban, atau mana-mana cherok (cherok dalam bahasa Utara bererti hulu, pedalaman atau tempat jin bertendang), maka anak saya tiada pilihan selain terpaksa meminjam dari PTPTN.
Anak-anak Melayu yang masuk ke universiti awam tempatan bukan semuanya senang. Rata-rata mereka berasal daripada keluarga miskin. PTPTN yang diilhamkan oleh ayahanda pemodenan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bermatlamat untuk membantu anak-anak ini belajar dengan selesa di menara gading.
Anwar Ibrahim sedar mengenai hal ini. Beliau ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan semasa idea dan pelaksanaan PTPTN dilaksanakan.
Semasa saya belajar dulu, tiada PTPTN. Jika ada sudah tentu saya antara salah seorang budak Melayu miskin yang akan memohonnya. Dan setelah saya bekerja, maka saya akan membayar balik pinjaman itu. Atau jika saya mendapat Ijazah Kelas Pertama, maka ia akan ditukar menjadi biasiswa, tak perlu bayar. Namun saya bukanlah kategori itu, maka atas kesedaran itu, saya perlulah membayar balik pinjaman yang diambil.
Jadi, itu tidak menjadi hal. Orang Melayu bukanlah bangsa yang mahu semuanya free. Kita juga ada maruah. Saya tidak pasti macam mana timbulnya idea geliga Anwar meminta dihapuskan sahaja bayaran balik PTPTN kepada kerajaan. Seperti yang kita ketahui, itulah Anwar. Kaki putar alam demi kepentingan dirinya, partinya dan cita-citanya untuk menjadi PM. Dia gemar mencari isu popular untuk kepentingan dirinya.
Namun, dalam masa menulis kolum ini saya mendapat maklumat yang cukup memalukan. Universiti dan institusi pengajian tinggi yang dikuasai oleh kerajaan pembangkang, termasuk Selangor yang Anwar sebagai Penasihat Ekonominya masih menerima kemudahan PTPTN daripada Kerajaan Pusat untuk disalurkan kepada para pelajarnya -- Melayu, Cina dan India -- yang miskin dan yang memerlukannya.
Jumlahnya juga besar (lihat carta): Universiti Selangor (yang dulu diasaskan oleh kerajaan BN) adalah antara penerima tertinggi di seluruh negara iaitu sebanyak RM851,294,429.90 iaitu hampir RM1 bilion. Ia digunakan untuk faedah sebanyak 25,649 pelajar universiti itu sejak kewujudan PTPTN pada tahun 2000 sehingga 31 Mac 2012.
Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) pula menerima sebanyak RM369 juta 977,659.00 untuk kemudahan sebanyak 13,763 pelajar miskin.
Unisel dan KUIS, yang ditubuhkan oleh kerajaan BN terdahulu, kini (kononnya, tolong betulkan jika saya salah) menjadi markas kuat penentang kerajaan Pusat pimpinan BN.
Sementara itu, satu lagi negeri pimpinan pembangkang, iaitu negeri kelahiran saya, Kedah turut menerima kemudahan faedah daripada PTPTN. Kolej Insaniah, sebuah kolej kecil, menerima kemudahan PTPTN sejak dari tahun 2000 sehingga 31 Mac 2012. Sebanyak RM266 juta 229,500.00 telah disalurkan untuk kemudahan sara hidup dan pengajian bagi 5,900 pelajarnya. Rata-rata semua pelajarnya mengambil kemudahan tabung itu.
Kita hairan jika Anwar beria-ia mahu supaya hutang itu dimansuhkan, kenapa tidak dimulakan pemansuhan PTPTN untuk institusi di bawah jagaannya berkuat-kuasa serta-merta.
Jika beliau merasakan bentuk pinjaman itu sebagai zalim dan mahafiraun -- maka kita mahu melihat kemudahan PTPTN oleh kerajaan Pusat itu dimansuhkan untuk ketiga-tiga institusi tersebut dahulu.
Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai hal ini kerana saya mahu pembaca sekelian membaca satu posting menarik yang ditulis oleh bekas MB Selangor, Dr. Khir Toyo mengenai perihal Anwar dan PTPTN ini di bawah tajuk Hipokrasi Anwar dan Wajah PTPTN Yang Perlu Diubah.
PTPTN bagi saya perlu diteruskan dan hanya perlu ditambah-baik dan diperhalusi dari segi sistem pengendaliannya. Ikuti entri dalam blog Dr. Khir pada bulan Februari lalu http://www.drkhir.com/2012/02/hipokrasi-anwar-dan-wajah-ptptn-yang.html
Hipokrasi Anwar dan Wajah PTPTN Yang Perlu Diubah
BARU-BARU ini saya berjumpa dengan sekumpulan mahasiswa yang begitu terpengaruh dengan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghapuskan pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Mereka yang terpengaruh dengan janji Pakatan ini tidak memahami sejarah dan pemimpin yang mewujudkan PTPTN sendiri.
Apabila Anwar mengumumkan beliau akan menghapuskan pinjaman PTPTN mereka bersorak sakan tanpa melihat asal usul kemunculan dana ini.
Pada awal 1991, Perdana Menteri Keempat, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Tun) mengumumkan pelan jangka panjang Wawasan 2020 iaitu ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berasaskan kepakaran dan teknologi serta mewujudkan rakyat berpendapatan tinggi. Justeru, mahu tidak mahu jumlah pelajar pengajian tinggi juga perlu ditambah dengan banyaknya agar selari dengan hasrat Wawasan 2020 itu.
Selain itu, perkembangan pesat Institut Pengajian Awam dan Swasta, kemunculan begitu ramai pelajar yang lulus cemerlang dalam pengajian peringkat menengah sejak penghujung alaf lalu menyaksikan kerajaan tidak lagi mampu menyediakan peruntukan yang besar dalam pemberian pinjaman dan biasiswa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam seperti sebelum itu.
Atas sebab itulah kerajaan menubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566).
Hipokrasi Anwar Ibrahim
Siapakah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika PTPTN ini ditubuhkan? Nyata sekali PTPTN ditubuhkan di bawah batang tubuh pemimpin yang hari ini ke hulu ke hilir mendakwa PTPTN menekan mahasiswa, zalim dan merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memberi pendidikan percuma sehingga ke universiti.
Tujuan PTPTN ialah untuk mengambil alih peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sebelum ini merupakan agensi pemberian pinjaman pendidikan terbesar kerajaan selain Majlis Amanah Rakyat (MARA). PTPTN bertujuan mewujudkan satu tabung pinjaman pendidikan yang tidak lagi memerlukan peruntukan kerajaan saban tahun seperti JPA sebelum ini.
Malangnya PTPTN bermula dengan langkah yang salah apabila mengenakan caj sehingga 4% setahun ke atas pinjamannya. Ini menimbulkan kemarahan para pelajar yang terasa mereka dibebani oleh pinjaman pendidikan yang terlalu tinggi apabila mula bekerja.
Tapi sekali lagi pengenaan caj 4% ini dilakukan di bawah pengawasan Menteri Kewangan mana? Orang yang sama hari ini yang mendakwa pinjaman PTPTN dan caj pengurusan, yang jauh lebih rendah daripada zaman beliau, sebagai zalim dan menindas mahasiswa.
Namun kerajaan Barisan Nasional yang prihatin ini kemudiannya menurunkan kepada 3% dan seterusnya menganjurkan skim baru yang hanya mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 1% sahaja. Dan ingatlah semua ini berlaku bukan lagi pada zaman pemimpin "rakyat" bernama Anwar Ibrahim memegang kuasa.
Sungguhpun kita mengetahui sikap hipokrasi pemimpin Pakatan ini, namun kita juga harus menerima hakikat bahawa wajah, struktur dan bentuk PTPTN boleh diberi nafas baru yang menjadikannya lebih mesra rakyat.
PTPTN Perlukan Perubahan Drastik
Sehingga tahun lalu seramai 885,564 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu membayar balik pembiayaan pendidikan masing-masing yang berjumlah RM5.3 bilion. Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung berkata, 114,125 peminjam telah diluluskan penangguhan bayaran balik disebabkan menyambung pelajaran, masih belum bekerja dan dalam proses tawaran yang melibatkan amaun sebanyak RM967.18 juta.
Ini bermakna masih ada lagi ruang untuk pelajar yang telah lulus pengajian memohon penangguhan bayaran semula. Namun masih ramai yang tidak berpuas hati kerana PTPTN mewajibkan mereka mula membayar balik enam bulan selepas habis pengajian. Jika tidak mampu membayar maka perlu melakukan rayuan dan bergantung atas budi bicara para pegawai PTPTN. Malahan saya dimaklumkan PTPTN mempunyai budi bicara untuk mengurangkan bayaran bulanan sehingga serendah RM 50 sebulan.
Namun masalah yang besar ialah mengenai jumlah yuran pengajian yang begitu tinggi di Institut Pengajian Tinggi Swasta sehingga menyebabkan ada antara pelajar lulusan vokasional dan teknik berhutang dengan PTPTN sehingan RM 45 ribu ke 50 ribu sebaik tamat pengajian.
Dalam keadaan inilah kerajaan harus menganggap memberi pinjaman pendidikan tinggi kepada para pelajar merupakan satu bentuk pelaburan yang kalau tidak lebih penting pun tentulah sama penting dengan pelaburan pembangunan lain.
Pada hemat saya PTPTN perlu menggunakan skim pembayaran balik pinjaman MARA yang lebih mesra pelajar dan sangat bertimbang rasa. Ini membolehkan pelajar menikmati pelbagai potongan diskaun selain menggalakkan kerja keras mahsiswa menumpukan kepada pelajaran. Jika pelajar yang mendapat kelulusan baik diberi potongan tertentu, maka lebih ramai yanga akn menumpukan kepada pelajaran berbanding menghabiskan masa berhibur dan berdemontrasi.
PTPTN sebagai organisasi yang berkait rapat dengan kerajaan tidak harus menjadi seperti bank yang mengenakan pelbagai caj dan faedah sehingga membebankan mahasiswa.
PTPTN mendapat dana permulaan daripada kerajaan. Saya percaya kerajaan boleh menambah dana tersebut jika PTPTN mempunyai strategi yang berkesan untuk menjadi sebuah organisasi yang mapan pada masa akan datang.
Justeru PTPTN harus mengambil langkah seperti MARA yang kini khabarnya mempunyai cabang pelaburan sendiri bagi mengumpul dana untuk organisasi dan aktiviti mereka. Atau sekurang-kurangnya PTPTN boleh mencontohi model pengurusan dan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)yang mampu mendapat keuntungan bagi menampung kos operasi dan membayar dividen kepada penyimpannya.
PTPTN boleh memohon dana khas kerajaan untuk pelaburan dalam industri tertentu yang tidak berisiko tinggi tetapi mempunyai pulangan sederhana. Kos pengurusan PTPTN dan juga kerugian daripada pemberian diskaun kepada pinjaman pelajar boleh ditampung dari sumber keuntungan pelaburannya, bukan daripada pinjaman pendidikan itu sendiri seperti yang berlaku sekarang.
Dengan peruntukan berbilion daripada kerajaan, adalah mustahil untuk PTPTN tidak mampu untuk mencari peluang pelaburan yang mencukupi untuk membiayai pengurusan organisasinya dan juga menampung kekurangan dana pinjaman akibat pelupusan dan juga pengurangan bayaran balik pinjaman.
PTPTN juga boleh melakukan pelbagai aktiviti mengutip dana untuk tabung pinjaman ini jika syarikat korporat, dermawan dan rakyat percaya mereka membuat kerja membantu mahasiswa bukannya menindas mahasiswa.
Yang utama dan penting ialah PTPTN tidak seharusnya mengambil jalan senang dengan memberi pinjaman dan mengutip bayaran semata-mata sehingga ia menjadi satu bebanan politik kepada rakyat.
Belajarlah daripada agensi lain terutamanya daripada MARA yang bukan sahaja berupaya menaja para pelajar ke luar negara tetapi juga memberi pinjaman yang sangat fleksibel dan mesra mahasiswa.
CUIT: Tahniah Dr. Khir kerana telah lama menjawab isu PTPTN ini. Tetapi mungkin ramai yang tidak perasan.

Saturday, 31 March 2012

DUN Sabah meluluskan Rang Undang-undang Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 2012 ketika persidangan DUN

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Radin Malleh berkata, rang undang-undang itu bertujuan untuk menyempurnakan hasrat kerajaan, pertama, untuk membubarkan seluas 7,024,00 hektar hutan simpan kekal melalui ke arah landskap dengan tanah kerajaan.
“Kedua, untuk menubuhkan seluas 9,544,50 hektar hutan simpan kekal negeri yang baru bagi menggantikan hutan simpan-hutan simpan yang telah dibubarkan.
“Ketiga untuk mengkelaskan semula lima kawasan hutan simpan sedia ada dengan keluasan 129,209,00 hektar kepada kelas-kelas yang lebih sesuai selaras dengan fungsinya,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 2012 di Persidangan DUN kelmarin.
Katanya, pembubaran seluas 7,024 hektar kawasan Hutan Simpan Negeri itu adalah bagi tujuan serta faktor iaitu menyediakan kawasan untuk membina kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di daerah kecil Sook.
“Menyediakan kawasan untuk Taman Perindustrian Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) di daerah Sipitang ,” katanya.
Beliau berkata, pembubaran tidak dapat dielakkan oleh kerana ada sebahagian kawasan Hutan Simpan yang terbabit tidak lagi sesuai dikekalkan untuk tujuan perhutanan atas sebab telah dibangunkan dan dijadikan perkampungan.
Kawasan-kawasan tertentu juga katanya, terdedah kepada perubahan dan kemusnahan terutamanya akibat kebakaran yang berulang.
Radin berkata, Hutan Simpan yang akan dibubarkan itu ialah Hutan Simpan Ulu Telupid kelas 1 (Perlidungan) seluas 1,048 hektar, Hutan Simpan Lipaso, kelas 1 (Perlindungan) seluas 260 hektar, Hutan Simpan Kuala Tomani, kelas 11 (Komersial) seluas, 2,900 hektar. Hutan Simpan Sook kelas 1V (Emeniti), Hutan Simpan Tawau kelas V (Bakau) seluas 796 hektar dan Hutan Simpan Mengalong kelas V1 (VJR).
Menurutnya, sungguhpun pembubaran Hutan Simpan itu akan dilakukan, kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan ganti iaitu 15 kawasan tanah kerajaan dengan keluasan 9,544,50 hektar yang akan ditubuhkan sebagai Hutan Simpan.
Hutan Simpan yang akan ditubuhkan itu, ialah kawasan Hutan Kungkular yang terletak di daerah Tenom seluas 1,260 hektar, kawasan Hutan Bukit Balingkadus di daerah Ranau seluas 288 hektar dan kawasan tadahan air Sapagaya di Lahad Datu seluas 2,514.99 hektar.
Kawasan hutan Sungai Tangkung di Kinabatangan seluas 368 hektar, syorkan sebagai Hutan Simpan Deramakot (Tambahan 11) kawasan hutan dan paya bakau di daerah Beaufort dengan keluasan 312 hektar, disyorkan sebagai Hutan Simpan Padas Damit (Tambahan) kelas 1V (Emeniti).
Selain itu, kawasan hutan Pulau Baik dan Pulau Kalung-Kalungan di Darvel Bay, Lahad Datu seluas 28 hektar. Kawasan hutan bukit Nabawan dalam daerah Nabawan seluas 38 hektar.
Kawasan hutan tanah lembab, Kinabatangan seluas 3,288 hektar, kawasan hutan Kepulauan Sg. Sugut, Sg. Paitan dan Pulau Jambongan terletak di Pitas dengan keluasan 144 hektar. Kawasan kepulauan berhampiran Hutan Simpan Kuala Bonggaya dan Kuala Labuk di Beluran seluas 36 hektar.
Kawasan hutan bakau Kudat dan Marudu Bay di Kota Marudu seluas 12 hektar, kawasan hutan bakau Kudat dan Marudu Bay di Kota Marudu seluas 572 hektar, kawasan tapak plot penyelidikan Jabatan Perhutanan Batu 15 dan Batu 15 ½ di Balung, Tawau.
Kawasan Tadahan air Babagon seluas lapan hektar, kawasan hutan Balat Damit di Kinabatangan dengan keluasan 670 hektar.
Radin juga berkata, selain pewartaan Hutan Simpan baru, kerajaan juga bercadang untuk mengkelaskan semula lima kawasan Hutan Simpan kelas 11 kepada kelas yang sesuai selaras dengan fungsinya.
Hutan Simpan berkenaan ialah sebahagian Hutan Simpan Ulu Segama di Lahad Datu, sebahagian Hutan Simpan Sapulut dan sebahagian Hutan Simpan Kalabakan, kawasan Maliau Buffer Zon1, sebahagian Hutan Simpan Ulu Segama di Lahad Datu.
Menurut Radin, pengkelasan semua Hutan Simpan berkenaan bertujuan antaranya bagi mengekalkan kawasan hutan untuk tujuan perlindungan dan kesejahteraan alam sekitar. pengekalan sumber air san kepelbagaian hayat.
Ia juga katanya, bagi meningkatkan kualiti biodiversiti kawasan hutan yang mengalami proses degradasi dan seterusnya mengekalkan peranannya sebagai zon penampan..Syabas kepada Ahli2 Dewan Undangan Negeri Sabah krn memperjuangkan Hutan Simpan di SABAH demi generasi akan datang..:-)